Al Quran adalah kalam Allah seperti mana yang tertulis dalam mushaf al Quran, bukan makhluk. Allah turunkan ke atas Nabi Muhammad SAW yang memiliki kekuatan I’jaz dengan pada lafaz dan maknanya. Seseorang dinilai beribadah kerana membacanya, telah sampai kepada umat ini melalui periwayatan mutawatir, tertulis dalam mushaf bermula dengan surah al Fatihah ditutup dengan surah an Naas.
Al Quran diturunkan melalui tiga tahap;
A. Al Quran berada di Lauh Mahfuz.
B. Diturunkan keseluruhannya sekaligus pada malam lailatul qadar.
C. Diturunkan kepada Rasulullah secara beransur-ansur selama 23 tahun.
Penurunan al Quran tahap ketiga diriwayatkan dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم dari para sahabatnya dan seterusnya kepada seluruh umat Islam melalui sanad yang mutawatir.
Selepas perang Riddah (peperangan melawan orang-orang murtad), Abu Bakr رضي الله عنه memerintahkan penulisan al Quran dalam satu mushaf. perintah tersebut dikeluarkan kerana bimbang al Quran akan hilang disebabkan ramainya para pengahafal al Quran yang terbunuh. Seterusnya Uthman رضي الله عنه memerintahkan pengumpulan al Quran yang kedua ke dalam mushaf. Perintah tersebut berasas kepada perselisihan yang disebabkan oleh cara bacaan al Quran yang berbeza-beza. Masing-masing menganggap bacaan sendiri yang benar. Beliau bimbang perselisihan ini makin bertambah dan membawa kepada perpecahan. Maka khalifah Uthman pun segera membentuk panel pengumpul al Quran yang terdiri dari para penghafal dan setiausaha wahyu Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Pengumpulan kali ini selain mengambil dari hafazan para sahabat Nabi, ahli panel juga merujuk kepada mushaf Abu Bakr yang disimpan oleh Hafsah binti Umar. Pengumpulan tersebut berjaya menghalang perpecahan umat kerena perselisihan bacaan al Quran.