Menghafaz al Quran terbuka kepada semua peringkat umur, walau bagaimanapun menghafaz di usia muda amat digalakkan dan terbukti sangat berkesan, bahkan kanak-kanak seawal umur 3-4 tahun ketika mereka sudah mulai pandai menyebut perkataan sudah boleh diajarkan hafazan al Quran. Hanya saja ATIUW sebagai pusat tahfiz berasrama cuma menerima pelajar pelajar yang berumur tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih dari 16 tahun atas pertimbangan faktor pengurusan dan pelayanan kami yang masih terhad.

Sukatan Hafazan

Klinik Bacaan

Pelajar yang mendaftar diwajibkan mengikuti sesi temuduga. Kebanyakan pelajar yang datang mengikuti proses temuduga diterima sebagai pelajar sepanjang mereka memenuhi persediaan diri sebagai seorang hafiz. Hal ini berdasarkan kepada missi ATIUW yang berazam membuka peluang kepada kanak-kanak dan remaja menghafaz kitab Allah. Dari hasil temuduga, pelajar yang tidak memenuhi syarat kelayakan menghafaz dari sudut bacaan, mereka akan melalui sesi TAHSIN BACAAN secara intensif. Kemajuan pelajar dalam sesi ini akan sentiasa dipantau dan diuji kelayakan setiap minggu. Tempoh sesi ini ditetapkan maksimum 6 bulan dan paling cepat adalah 1 bulan. Pelajar yang dinyatakan lulus ujian TAHSIN BACAAN dibenarkan mengikuti kelas hafazan.

Sebelum Menghafal Baru
  1. Hafazan baru dibacakan oleh ustaz atau pelajar membaca kepada ustaz untuk memastikan ketepatan sebutan ayat yang akan dihafaz.
  2. Dibaca berualang kali bertujuan melancarkan dan memastikan tiada bacaan yang salah sebut atau sangkut. Biasanya diulang antara 20 hingga 40 kali bergantung kepada penilaian bacaan oleh ustaz.
  3. Selepas membaca bilangan bacaan yang ditetapkan, pelajar wajib tasmik memperdengarkan bacaannya kepada ustaz, Sekiranya ustaz berpuas hati dengan bacaannya maka ustaz akan membenarkan pelajar memulakan menghafaz bahagian yang sudah diulang-ulang tersebut. Jika ustaz belum berpuas hati kerana menjumpai kesalahan pada sebutan maka ustaz akan meminta pelajar mengulang lagi sehingga mahir.
Memulakan Menghafaz:

Sukatan hafazan di ATIUW disusun dari pelbagai metod dan pengalaman. Berikut ini adalah tahapan-tahapan menghafaz al Quran:

  1. Selepas pelajar diakui layak dan mahir bacaan pada bahagian hafazan baru, pelajar dibenarkan mula menghafaz bahagian tersebut.
  2. Mushaf dibiarkan terbuka, muka menghadap al Quran, mata dibuka dan dipejamkan mengikut keperluan sehingga bahagian yang ditetapkan untuk dihafalĀ  habis dibaca. Keadaan itu diulang-ulang hingga 3-5 kali.
  3. Pelajar mencuba menghafaz baru dengan memejamkan matanya.
  4. Jika ia berjaya digalakkan mengulang sekali lagi langkah kedua seterusnya mencuba langkah ketiga. Jika berjaya bolehlah ia mentasmik (memperdengarkan) hafazannya kepada ustaz.
  5. Jika gagal pada langkah ketiga pada percubaan pertama, pelajar tandakan bahagian yang tersangkut dan memberi tumpuan padanya ketika melakukan pengulangan seperti langkah kedua.
  6. Tahap kedua merupakan cara utama untuk menyelesaikan hafazan yang masih sangkut.
Tahap Pengulangan

Pengulangan hafazan tidak kalah pentingnya berbanding tahap menghafaz, bahkan keutamaan lebih diberi pada tahap pengulangan ini. Pengulangan dibahagi kepada dua jenis:

  1. Pengulangan hafazan terkini. Ini merupakan istilah khas ATIUW, maksudnya adalah pengulangan hafazan bahagian yang baru saja dihafaz iaitu bahagian yang paling hampir dengan hafazan baru. Hafazan terkini meliputi 5-10 halaman paling hampir dengan bahagian yang belum dihafaz. Pengulangan ini WAJIB dilakukan setiap hari.
  2. Pengulangan hafazan lama. Bahagian hafazan lama ini meliputi hafazan lama-lama selain hafazan terkini. Bilangan halaman atau juzuk pengulangan adalah antara 10 halaman sehingga 3 juzuk (60 halaman) setiap hari. bergantung pada tahap hafazan pelajar.

Tahap pengulangan hafazan lama melalui empat tahap:

  1. Tahap 10 halaman.
  2. Tahap 1 juzuk.
  3. Tahap 2 juzuk.
  4. Tahap 3 juzuk.
Sukatan Hafazan:
  1. 3 baris/hari hingga halaman 11 (40 hari). Hafazan terkini 2 halaman/hari jika ada. Hafazan lama 10 halaman/hari.
  2. 7 baris atau 1/2 halaman/hari, halaman 12-41 (60 hari). Hafazan terkini 3 halaman/hari. Hafazan lama 10 halaman/hari.
  3. 1 halaman/hari, halaman 42-241 (200 hari). Hafazan terkini 3 halaman/hari. Hafazan lama 10 halaman/hari sehingga hafazan baru mencapai halaman 61, hafazan lama ditambahkan menjadi 1 juzuk/hari jika hafazan baru masuk pada halaman 62-121. Hafazan lama ditambahkan menjadi 2 juzuk/hari jika hafazan baru mencapai halaman 122-201. Hafazan lama 3 juzuk/hari jika hafazan baru sudah masuk ke halaman 202 dan seterusnya.
  4. 1.5 halaman/hari dari halaman 242-604 (240 hari). Hafazan terkini 6-10 halaman/hari. Hafazan lama 3 juzuk/hari.
Klinik Hafazan:

Adakalanya pelajar mengalami kesulitan dalam mengingat hafazan lama. Perkara ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor:

  1. Terlalu gairah ingin menghafaz yang baru sehingga tidak sabar dan tidak suka melalui tahapan-tahapan sebelum menghafaz.
  2. Mendahulukan tasmik (memperdengarkan) hafazan berbanding hafazan lama, sehingga bila ingin tasmik hafazan lama waktu belajar sudah tamat sehingga tak sempat tasmik. Jika keadaan sebegini kerap berlaku maka hafazan lama pun kerap tidak ditasmik habis setiap hari.

Pelajar yang menghadapi kesulitan mengingat hafazan akan dihentikan pengambilan hafazan barunya dan dimasukkan dalam program klinik hafazan. Ustaz akan memberikan jadual pengulangan yang ketat untuk membantu pelajar mendapatkan semula hafazan lamanya dengan lancar.

Persediaan Ujian Sijil:

Selepas pelajar mengkhatamkan hafazan 30 juzuk. Dia akan melakukan pengukuhan hafazan sebagai persediaan menghadapi ujian pengambilan sijil hafazan. Program pengukuhan hafazan ini melalui beberapa tahap:

  1. Tasmik 3 juzuk/hari. Tahap ini berlangsung selama 20 hari (khatam 2 kali).
  2. Tasmik 5 juzuk/hari. Tahap ini akan berlangsung selama 12 hari (khatam 2 kali).
  3. Tasmik 7.5 Juzuk/hari. Tahap ini berlangsung selama 8 hari (2 kali khatam).
  4. Tasmik 10 Juzuk/hari. Tahap ini berlangsung selama 6 hari (2 kali khatam).
  5. Tasmik 15 Juzuk/hari. Tahap ini berlangsung selama 4 hari (2 kali khatam).
  6. Tasmik 30 juzuk/hari. Tahap ini berlangsung selama 2 hari (2 kali khatam).